Friday, August 31, 2012

Nilai Cinta

Sebelum habis Ramadan, saya ada membeli beberapa buku. Mood semasa Ramadan merupakan mood cinta. Jadi, semasa ke kedai buku, saya membeli buku perihal cinta. Buku mengenai kekasih saya, Syamail Muhammadiyah(Keanggunan Nabi Muhammad) - Imam Tirmizi dan juga buku Hilal Asyraf, Sebelum Aku Bernikah. Hasrat nak membeli Is God A Mathematician? saya tangguhkan. Momentum Ramadan ada, jadi kena garap hikmah-hikmah selagi semangat itu ada. Biar hikmah jadi kefahaman, dan kefahaman memandu istiqamah di bulan lain.

Sekembalinya saya di sini(Penang), saya meminjam buku Kecerdasan Asmaul Husna, Sulaiman Al Kumayi. Sepanjang di sini, sudah enam buah buku saya pinjam dan habis baca. Semuanya buku mengenai sains dan saintis. Understanding Einstein, Black Holes and Baby Universes - Stephen Hawking, The Great Beyond; Higher Dimensions and Parallel Universes, dan lain-lain. Jadi, memang sepanjang di sini sebelum raya moodnya mood sains, bila masuk Ramadan jadi mood hamba yang mencari cinta. Alhamdulillah, Ramadan kali ini saya bahagia. Tiada apa yang saya sesalkan. Moga-moga Allah terima segalanya.

Raya kali ini agak mendebarkan. Saya tak sentuh walau sebiji pun kuih raya (Heheee : Gelak Shin Chan nakal). Di pagi raya, kami berkumpul di Kubang Kerian. Sesudah ibu, ayah dan makcik pakcik saya bersalaman dengan datuk dan nenek saya, saya membacakan doa. Panjang doanya. Bercucuran air mata makcik pakcik ibu ayah saya. Saya berdoa kepada Allah, merasai harapan ibu saya selama ini. Alhamdulillah. Ini kali pertama semua adik-beradik dapat berkumpul setelah lebih sepuluh tahun tak dapat berkumpul bersama. Saban tahun saya melihat ibu saya sedih, kerana sedikit perselisihan dengan nenek kami, hanya keluarga kami sahaja yang beraya di sana. Kadang-kadang sangat dapat bertembung dua beradik di rumah nenek kami. Saya belajar nilai yang sangat penting dalam keluarga daripada kejadian ini.

Lebih mengejutkan, biasanya saya hanya menitis air mata ketika bersalaman dengan ibu ayah saya. Sikit je. Tapi tahun ini, saya menangis di bahu mereka. Saya tak cakap apa-apa. Saya pandang wajah mereka, saya salam tangan, saya letak muka saya di bahu mereka. Menangis macam budak-budak. Habis basah baju ibu ayah saya. Lagi-lagi masa tengah meraung di bahu ibu saya, ibu saya berbisik "Anak mama, Mama sayang. Lagi dua je Allah tak makbulkan lagi doa Mama untuk abang. Jadi Hafiz Quran, Allah dah makbulkan. Lagi dua, Mama doa abang dapat pimpin masyarakat, dan Mama doa abang mati syahid. Itu doa Mama". Lagi kuat saya menangis. Maklumlah, anak sulung. Bukan selalu dapat rasa ibu belai kepala. Dah habis menangis, sempat lagi saya tanya, "Ma, tak doa untuk Asif kahwin ke?". Keh. Entah macam mana soalan itu keluar pun saya tak tahu. Tiba-tiba. Moga saya dapat jadi anak yang baik. Mereka tak pernah putus asa untuk saya, dari saya kecil hingga besar. Banyak dosa saya pada mereka. Saya tahu dalam hati saya, saya cinta mereka. Sangat-sangat cinta. Tak pernah berlalu sehari tanpa nama mereka disebut dalam doa saya.

Saya sering tertanya-tanya, terutama pada bulan Ramadan lepas. Apakah nilai cinta saya di sisi Allah? Macam mana untuk saya ketahui adakah cinta saya bernilai atau tidak di sisi Allah? Saya tidak tahu jawapannya. Tapi saya merasakan, cinta itu perasaan yang menenangkan dan membahagiakan. Saya merasakan bila kita hidup dalam senang, kita bersyukur. Bila hidup diuji, kita solat dua rakaat memohon sifat redha dan bersangka baik pada Allah.

Alhamdulillah, bila saya terima berita yang saya kurang berkenan, saya terus mengambil wudhu' dan menunaikan solat dua rakaat. Andai sebelum ini walaupun saya bersabar, tapi hati saya akan sakit. Tapi Alhamdulillah, kali ini rasa sedih itu saya pulangkan kembali pada Allah. Andai itu yang terbaik, mohon dikurniakan redha. Saya sentiasa berdoa pada Allah agar segala keputusan hidup ini dipandu Allah, bukan dipandu oleh kecetekan akal diri sendiri. Walaupun kadang-kadang kemahuan itu terlalu kuat, kemahuan itu saya pulangkan kembali kepada Allah. Andai ianya baik, pulangkan ia kembali pada saya. Andai tidak, hilangkan ia dari hati saya.

Hidup ini punya tujuan. Jangan mudah terleka dengan distraction lain. Sentiasa belajar dari kesilapan.

Ya, hidup saya ada impian. Saya punya tiga impian dalam hidup. Andai Allah ingin gugurkan mana-mana impian saya, saya redha. Impian boleh digugurkan, namun tujuan itu pasti. Tujuan hidup kita ialah Allah. Paksikan itu dalam hati.

Sentiasa check dari masa ke semasa, bagaimanakah cinta kita? Adakah bila kita sujud, hati kita merasakan kehinaan dan kehambaan? Adakah kita ingat pada Nabi semasa kita senyum, bergurau, makan, dan solat? Kerna itu semua sunnah nabi. Di akhir zaman ini, di mana nabi telah tiada, link kita untuk menyemai rasa cinta pada Nabi hanyalah dengan mengamalkan sunnah nabi, selawat dan membaca sirahnya.

Sentiasa rujuk hubungan kita dengan Al Quran. Adakah kita menjaga dan mengamalkan isi Al Quran? Adakah kita faham ciri-ciri dalam Surah al Mu'minun? Sudahkah kita maklum ciri-ciri orang bertaqwa yang terletak di banyak tempat di dalam Quran? Sudahkah kita faham berapa kali Allah berpesan, yang Allah akan meneguhkan tapak kaki mereka yang berada di jalan Allah? Malah Allah siap menghantar malaikat untuk bersama dengan kita.

Saya ingin syorkan satu buku yang sangat bagus. Bekalan Sepanjang Jalan Dakwah, Mustafa Masyhur. Sangat peribadi dan hidup. Beliau mengajak kita untuk mencari bekalan dalam solat, di dalam Quran, zakat, haji, tafakur pada nikmat, dan takfakur pada ciptaan Allah. Best!

Juga buku Syamail Muhammadiyah. Ada di MPH. Tak padan langsung dengan harga. Harga murah, isinya masya Allah tak ternilai. Cinta pada nabi berbunga.

Sejak saya habis buku itu, saya sering berdoa sebegini di akhir doa saya, " Ya Allah, aku sangat merindukan kekasihMu, Rasulullah. Kirim salam sayang rinduku padanya. Allahumma Sholli 'ala Muhammad. Aku ingin dahiku dicium olehnya di syurga nanti".

Hargai cinta kita, pupuk dan semai. Kerana kita akan bersama dengan siapa yang kita cintai di akhirat nanti.


Berikan nama-nama Allah - At Tawwab, Ar Rahim, Ar Rauf dan banyak lagi nama-nama indah lain nilainya. Yakinilah Allah itu at Tawwab, Maha penerima taubat. Yakinilah Allah itu ar Rahim, Maha penyayang. Berikan nama Allah haknya, berikan nama Allah sifatnya, berikan nama Allah nilai cintanya. Moga dengan itu, cinta terus berputik. Tak kenal, maka tak cinta. [Kecerdasan Asmaul Husna]. 

Insya Allah.

1 comment: