Friday, June 10, 2011

Pulang

Setiap manusia akan kembali kepada Allah.. Mengungkap kata-kata Syeikh Khalid, sebagaimana kita singgah di 'rahim' ibu sebelum dilahirkan ke dunia, begitulah juga kita akan singgah di 'rahim' bumi sebelum kita menemui Pencipta kita.

Petang tadi selepas solat jumaat, aku mendapat beberapa mesej. Ustaz Zaki, seorang warga pendidik Al-Amin, merangkap kawan rapat keluarga aku, pergi terlebih dahulu menemui Ilahnya. Buat seketika, tangisan kesedihan terbit. Dada seperti kecut, terkejut dengan berita tersebut. Baru beberapa bulan lepas, kami melawat beliau. Muka beliau bersih, dan semakin kurus. Batu karangnya sebesar penumbuk. Dipesan elok-elok pada kami, anak-anak muridnya agar menjaga makan dan minum supaya tidak menyesal di hari tua.

Seketika, terimbas kisah lama bersama beliau. Selaku jiranku sedari aku kecil, beliau mengenali aku dengan dalam. Dan agak banyak aku dan adik-adikku mengusik ahli rumahnya, membaling batu, dan bermacam lagi yang boleh dibuat oleh budak-budak nakal. Bukan sekali dua kami dimarahi dan disyarah. Jikalau ada yang bertanyakan peribadi beliau, aku mengatakan beliau seakan-akan Umar al Khattab. Garang dan keras, namun rendah diri dan lembut hati.

Beliau mengajarku di sekolah menengah. Sekali lagi. Bukan sedikit tangan kami berbirat dirotan beliau. Rindu benar-benar terasa ketika kami melawat beliau setelah beliau berpindah. Lawat kami bukan di rumah, tapi di hospital. Terkejut dengan rupa baru ustaz. Sangat kurus. 

Ustaz ahli teras IKRAM. Seorang huffaz. Juga seorang pengamal tomoi. Beliau berasal dari Thailand. Beliau juga bertemu Ilahnya di sana, Yala. 


Mengenal ma'zirah
Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?" Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan su.paya mereka bertaqwa". [Al A'raf:164]

 Alhamdulillah, beliau mengenalkan kepada aku konsep ini. Dapat ianya terpahat bersama-sama dengan birat di tangan. Masya Allah, sehingga sekarang dari tingkatan dua, ayat ini masih segar. T.T

Pesanan terakhir
Jaga Quran..jaga Quran.. jaga Quran.
Insya Allah, ana akan jaga Quran baik-baik..
Buat seketika, tangisan kesedihan terbit. Namun, kini tidak lagi. Aku tersenyum. Ustaz sudah pulang..menemui kekasih ustaz :)

Moga ustaz ditempatkan bersama-sama yang diberi nikmat oleh Allah..Amin

3 comments:

  1. setiap yang hidup pasti merasai kematian ..kan...

    hmm.. syahdu..

    aku perlukan kawan sehebat Asif sebagai pembimbing aku dalam rahim bumi ni...

    :'(

    ReplyDelete
  2. Masih terkejut dengan pemergian ustaz zaki. Ternyata, Allah lebih sayangkan beliau. Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang2 yang soleh inshaALlah.

    persis sekali! garang tetapi lembut hati.

    btw, tomoi tu apa ye?

    ReplyDelete